Tajdid Niat

Tulislah perkara yang baik-baik, I’Allah orang lain akan dapat manfaatnya.

Sunday, February 10, 2013

Cerpen : Aku tidak boikot McD







 “Eh, dah nak pukul 12.00 ni. Jom kita pergi makan tengah hari” cadang Aiman yang mula kelaparan setelah hampir setengah hari berjalan-jalan di KLCC.

“Agak lah, aku pun dah lapar ni. Pagi tadi tak sarapan. Kau nak makan tengah hari di mana? Aku ikut saja” Hasyim bersetuju dengan cadangan Aiman.

“Kalau macam tu, kita makan di McD je lah. Murah dan sedap” Kamal memberikan cadangan kepada 2 orang sahabatnya itu.

“Okay, beres. Aku pun mengidam burger McD tu.” Aiman bersetuju sambil anak matanya ligat mencari McD berdekatan.

“Tapi..... kita makan tempat lain lah..” Hasyim mula rasa gelisah, kerana beliau sedang memboikot McD.

“Eh, kenapa pula? Kau boikot McD ke? Haha. Macam ni lah, kita makan dulu di McD, lepas makan baru kita boikot. Ok tak? “ Aiman memerli Hasyim dengan nada dan gelak yang agak sinis.

“Kau kalau tak nak makan di McD, kau carilah tempat lain. Aku dengan Aiman nak pergi makan di McD. Kau nak ikut, jangan banyak soal.” Kamal malas hendak melayan pendapat Hasyim.

“Tapi, aku bukan tahu kawasan KLCC ni. Aku baru first time datang sini.” Hasyim mula serba salah dengan dua orang sahabatnya.

“Kalau macam tu, jom ikut kitorang makan di McD.” Aiman terus berjalan menuju ke restoran McD.

Kamal terus mengikuti belakang Aiman.

“Weh, jangan tinggalkan aku.” Hasyim mengejar dua orang sahabatnya sambil di sudut hatinya berbisik,

“Wahai rakyat Palestin, maafkan aku. Iman aku lemah..” secara tidak langsung, berkaca matanya mengenangkan kelemahan dirinya.

***

Sampai sahaja di hadapan restoran McD, ditakdirkan Aiman berjumpa sahabat lamanya, Imran lalu di hadapan McD tersebut.

“Eh Imran, apa khabar kau?” Aiman menegur Imran yang berjalan tanpa memandang kiri dan kanan.

“Oh Aiman. Alhamdulillah, aku sihat. Kau nak ke mana?”

“Aku nak pergi McD ini dengan dua orang kawan aku. Kau cuti ke hari ini? Aku baru nak minta “diskaun” dengan kau” gurau Aiman sambil tersengih kepada sahabatnya, Imran.

Imran tiba-tiba berubah air muka.

“Aku dah berhenti kerja.”

“Kenapa kau berhenti? Kau kerja di mana sekarang?” Aiman terkejut dengan Imran yang sudah bekerja McD di KLCC hampir 2 tahun.

“Aku boikot McD. Aku tak sanggup bantu Zionis bunuh saudara aku di Palestin.” Imran menegaskan nadanya.

Aiman dan Kamal terkejut. Tegar sungguh Imran berhenti kerja di McD semata-mata boikot.

“Kalau kau boikot pun, bukannya Zionis terus mengalami kejatuhan ekonomi mendadak. Bagi aku tak efektif. Habis kau kerja apa sekarang?” Aiman tidak bersetuju dengan tindakan Imran.

Sambil menepuk bahu Aiman dan tersenyum,

“Aiman, tindakan boikot jangan hanya dilihat daripada sudut kesannya, efektif atau tidak, tapi hendaklah difahami ia adalah tuntuan aqidah, bukti keimanan, persaudaraan dan tanda sokongan. Sekurang-kurangnya, inilah aku mampu bantu saudara aku di Palestin. Nak derma, aku tak mampu derma banyak-banyak. Jadi, aku boikotlah Zionis. Mereka (rakyat Palestin) mungkin tidak tahu, tapi Allah Maha Mengetahui. Mungkin aku kehilangan pekerjaan, tetapi aku tidak pernah kehilangan Allah. Rezeki aku bukan datang dari McD, tetapi datang dari Allah. “ panjang lebar Imran menjelaskan.

“Alhamdulillah, sekarang aku sedang berkejasama dengan pak cik aku untuk buat bisnes bagi membantu ekonomi umat Islam di Malaysia. Secara tidak langsung, dapat membantu rakyat Palestin yang berada di Malaysia.” Aiman menyambung lagi kata-katanya.

“Kalau macam tu, kenapa kau tak boikot facebook, laptop dell, dan lain-lain. Semua tu rekaan Yahudi juga” Aiman mula rasa serba salah, namun ditutup dengan persoalan yang tiba-tiba hadir di mindanya.

“Aku yakin, mungkin kau bantu Palestin daripada sudut lain selain daripada boikot. Sebab boikot bukanlah satu-satunya cara, tetapi banyak cara. Aku tidak pertikaikan usaha kau, dan aku harap kau tidak mempertikaikan usaha aku yang sangat kecil ini. Iman aku lemah, tak mampu boikot banyak-banyak. Aku hanya mampu boikot McD, produk Nestle, Loreal dan Coca Cola, kemudian aku cari alternatif untuk semua ini. McD aku gantikan dengan KFC, RFC atau restoran orang Islam, produk Nestle aku gantikan dengan produk buatan Malaysia seperti Vico,  Ali Cafe dan lain-lain, kemudian Loreal memandangkan aku memang tak pakai, jadi aku gantikan dengan air wudu’, dan Coca Cola aku gantikan dengan air soya. Lagi sedap, dan tiada gas karbonat.” Imran menjelaskan sambil tersenyum.

“Baiklah, aku minta diri dulu. Korang pun nak pergi makan, maaflah ambil masa korang. Assalamualaikum” Imran bersalaman dengan 3 orang sahabat dan terus berlalu pergi.
Aiman terdiam sambil memandang restoran McD di hadapannya.

Kamal pula tiba-tiba teringatkan pesanan di facebook untuk memboikot McD.

Hasyim pula matanya semakin berkaca, hatinya gembira kerana Allah mempertemukan dua orang sahabatnya dengan seorang lelaki bernama Imran, dan hatinya berdukacita kerana terlalu mengikutkan kehendak nafsu. Dia beristigfar.

“Jom makan di luar.” Kamal memecah kesunyian mereka bertiga.

“Aku pun rasa macam nak makan di luar” Aiman bersetuju.

Hasyim tersenyum, sambil memegang bahu kedua orang sahabatnya itu dan terus menuju ke luar KLCC meninggalkan restoran McD yang penuh dengan manusia, termasuk yang Muslim.

***

Moral of the story :

1. Kepada yang tidak memboikot (tidak kira apa jua produk);

(a) Jangan mempertikaikan usaha orang lain untuk boikot. Istilah mudahnya, “diam-diam sudah”.

(b) Istigfar atas kelemahan diri kita kerana tidak mampu boikot sekalipun kita tidak bersetuju langsung dengan tindakan boikot.

(c) Cari alternatif lain untuk membantu rakyat Palestin, tidak kira dari segi sokongan moral, derma, doa dan sebagainya. PASTIKAN kita lakukan sesuatu. Jangan tahu mengkritik sahaja.

2. Kepada yang boikot (tidak kira boikot apa jua produk) ;

(a) Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana Allah memberikan kekuatan untuk kita boikot. Jangan berlagak sambil mendabik dada dan memandang rendah orang yang tidak boikot.

(b) HENTIKAN sama sekali SARCASM / SARKASTIK / SUKHRIYYAH kepada orang yang tidak boikot. Jangan sangka kita akan boikot selama-lamanya, mana tahu suatu hari nanti tiba-tiba hati kita berubah. Silap hari bulan, kita jadi penyokong Zionis. Naudzubillah.

(c) Sentiasa berdoa agar Allah tetapkan hati kita untuk sentiasa istiqomah.

(d) Sentiasa bersangka baik dengan semua orang yang tidak boikot. Mungkin mereka ada alternatif lain untuk membantu saudara kita di Palestin. Kita tidak mengetahui, tetapi Allah jualah yang Maha Mengetahui. Mana lah tahu, orang yang tidak boikot ini, rupanya doa mereka lebih makbul dari doa orang yang boikot. Apa nak di kata?


Akhir sekali, kepada diri saya terutamanya, dan kepada semua orang Islam, buktikan persaudaraan kita dengan saudara kita sama ada di Palestin, Syria, Iraq atau di mana-mana jua dengan amal kita. Jangan sekadar menjadi “keyboard warrior” atau istilah budak kampungnya, “sembang lebat”.


Sumbangkanlah sesuatu untuk saudara kita, sementara kita dan mereka masih ada.


Moga Allah redha.

No comments:

Post a Comment

(sumber: Buku Memperbaharui Komitmen Dakwah by Muhammad Abduh)

"Meskipun kitalah yang benar, namun janganlah membesar-mebesarkan kelemahan dan kesalahan orang lain."