Tajdid Niat

Tulislah perkara yang baik-baik, I’Allah orang lain akan dapat manfaatnya.

Wednesday, August 14, 2013

CERPEN : Melangkah Ke Menara Gading (Bhgn 3)

Aku bercadang untuk berjumpa salah seorang sahabat mardhatillah aku yang dikhabarkan mendapat tempat di UMS juga.Biarpun dia bukan di UMS Labuan sepertimana aku namun aku masih berpeluang menemuinya sementara orientasi selama 5 hari di sini. Khabarnya turut berada di Kampung E. Maka peratusan untuk aku berjumpanya adalah berkemungkinan besar. Usai solat magrib, aku terus bersiap. Telah berjanji dengan sahabatku itu untuk berjalan beriringan bersamanya ke Dewan Canselor untuk taklimat nanti. Bas tidak disediakan pada malam itu kerana masalah teknikal. 

“Awak kat mana?” Aku menelefon sahabatku itu setelah lama mencarinya namun tetap gagal di kesan. 
“Saya kat bus stop nie” Aku yang masih di sekitar situ terus mencari muslimah bertudung labuh namun tetap gagal.
Aku terpandang seseorang dari belakang. Gadis yang agak cantik. Dia sungguh bergaya dengan tudung bawal. Riaknya mencari seseorang.
“Awak ke tu?” Tegurku biarpun masih kurang yakin.
Dia menoleh. Memang dia! Dia mungkin terkejut. Aku turut berbeza pakaian ketika itu. Hanya untuk sementara.Aku pada ketika itu hanya bertudung labuh Ariani yang sudahku ubahsuai agar tidak menampakkan bentuk badan dengan ditindihkan dua helai kain sifon. kujahitnya kelihatan lebih berlapis-lapis menutupi dada seperti tudung Yuna.Sengaja aku sediakan tudung itu untuk waktu yang terdesak seperti sekarang di mana elektrik di bilikku tidak stabil untuk menggunakan sterika bagi menggosok jilbabku yang berkedut seribu di dalam bagasi. Pernah kubaca tentang artikel yang mengatakan tudung Ariani seperti itu memang labuh namun tetap tidak menutup aurat. Aku turut perasan tetang itu lalu ku ubahsuai mengikut citarasa aku. Yang paling penting adalah menutup aurat. Itulah prinsipku.
“Jom. Kita kene cepat. Dewan jauh nak jalan kaki nie. nanti lambat.” Dia menarik tanganku.
 Kami rapat sekali. Pernah sekali dulu sengaja ke surau semata-mata ingin bertemu dia biarpun ABC.Kami selalu berkongsi cerita dan masalah hati. Aku cemburu dengan ibadah yang sering dilakukannya. Aku selalu bersaing tidak mahu kalah padanya.
“Orang nak pakai biasa je sekarang nie.Taknak Nampak lebih-lebih, tapi dalaman still menjaga.” Dia menutur kata setelah sekian lama berdiam. 
“Ape pun kita pakai takde masalah.Yang penting tutup aurat.” Kataku tidak menyokong dan tidak pula menghalang.
Banyak perkara kami bualkan sepanjang perjalanan. Namun hatiku tetap terhidu perbezaan dirinya yang dulu ku kenal.Seperti ada sesuatu disembunyikan darinya.Mungkin masalah.
“Jom duduk barisan belakang.” Dia mengajak. 
“Saya ok je asalkan tempat tu cerah sebab saya nak menulis bila bosan or ngantuk dengan taklimat tu nanti” Aku sempat berpesan. 
“Ok” Jawabnya lalu menarik tanganku ke kerusi belakang.
Aku tidak pasti apakah motifnya ingin berada di belakang sedangkan ramai fasilitator yang lalu lalang di barisan belakang ‘mengganggu’ tidur orang. Bagiku barisan tengah adalah paling selamat.Pasti tidurku tidak di ganggu jika aku mengantuk. Namun aku tetap menurutnya tanpa membantah. Permulaan taklimat sudah cukup membuat aku mengantuk. Pening kepalaku menahan rasa mengantuk itu. Aku memerhatikannya. Dia hanya memandang terus ke hadapan walaupun riak wajahnya agak mengantuk. Aku mula beroperasi membuka buku conteng ‘Khazanah’ berharga milikku lalu aku menghilang ke dunia lain. Dunia penulisanku yang sedang giat kucoretkan kini. Rasa mengantuk beransur hilang. Hampir separuh corentan terisi, namun terbantut seketika setelah aku menyedari diriku diperhatikan seseorng.
“Teruskan..!!” kata fasilitator lelaki itu. 
Aku terus memandang kehadapan tanpa sedikitpun menoleh ke arahnya. Melakukan perkara yang di minati adalah tidak salah. Ia dapat mencegah aku daripada mengantuk. Namun masih ada yang cemburu. Aku menahan geram lalu meneruskan kegiatanku setelah fasilitator itu berlalu pergi.Sepanjang minggu suai mesra, hanya begitu sahaja kelakuanku semasa mendengar taklimat membosankan itu. Menulis jika tidak ingin mengantuk.
* * * * * 
Tabir malam tersingkap. Unggas mula berlagu riang dan semua insan mula lena di buai mimpi. Hanya aku yang kelihatan di sudut kamar sepi terus berfikir. Hatiku kini mendamba kasih Ilahi mencari kedamaian dulu. 

Rindu pada budak-budak surau yang selalu kujumpa di matrik. Afif Amirah juga kukenali nya dari surau itu. Rindu pada Izati, Niena, Ana, Siti salbiah dan ramai lagi. Memang jasad kami terpisah jauh namun kerana ukhwah itu mengekalkan perhubungan kami. Kami masih tetap berhubung namun aku teringin bersama mereka lagi berusrah bersama bertemu empat mata. 


Salah seorang sahabat surauku itu telah berbeza sedikit sekarang. Biarpun sudah bertemu empat mata namun masih belum terisi kekosongan hati ini. Kurasakan bukan dia kini yang sedang kujumpa. Begitu berbeza. Apakah masalahnya?Aku yakin sekali dia mempunyai masalahnya yang tersendiri. Aku akan bertolak ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan seawal subuh pagi esok. Bererti semalam adalah terakhirkali kami bertemu. Aku sempat bertanya apakah masalahnya, namun gagal.

Mungkin dia belum bersedia namun aku kecewa tidak dapat membantu. Dia sahabatku namun tiada apa yang mampu aku lakukan untuknya selagi dia enggan berkongsi masalahnya. Awak, apakah masalah yang kini sedang dilaluimu. Izinkan saya untuk tahu keadaanmu. Aku mengira diriku terlalu teruk diuji tahap keimanan sepanjang di KL. Namun baru kusedar, ada insan lain yang lebih teruk di uji tahap keimanannya sehinggakan dia agak jauh berbeza dari yang dulu kukenal. Masih kuingat permulaan kerjaku di KL. Aku sering mengadu pelbagai cerita tentang ujian yang kulalui kepada Afif Amirah. Di saat itu secara langsung aku mendapatkan tarbiyah darinya. Maka aku terus menjadi yakin pada Allah sehingga sekarang masih kekal rasa itu dalam hatiku. Bagi sahabatku yang satu itu, hanya doa yang mampu kukirim dari jauh.Semoga Allah menjaga Imannya untuk terus berjuang pada jalanNya seperti dahulu. Dalam kesayuan hati,aku terlelap jua. 

* * * * * 
Perjalanan mengambil masa 2 jam lebih sudah cukup membuatku terlena di dalam bas yang ditempah khas untuk mengangkut pelajar UMS untuk ke Menumbok, iaitu terminal feri untuk ke Labuan. Aku membuka mata lalu menarik beg tangan kesisi ku serta menggalas beg UMS untuk turun dari bas menuju ke arah terminal feri. Kesemua bagasi pelajar telah dihantar sehari sebelum pelajar tiba bagi memudahkan perjalanan.

Terasa rutin harianku di sini hanya membazir masa dengan beratur panjang dalam membuat sesuatu perkara. Ingin menaiki feri, pelajar-pelajar perlu beratur panjang sehingga jauh dari luar terminal. Namun syukur sekali kerana aku sempat mendapatkan barisan yang agak hadapan sedikit. Aku bertemu sekali lagi dengan Emy mungkin namanya jika tidak silap ingatanku. Dia baru kukenal semalam semasa di dalam bas. Kerana diri ini merindukan ukhwah ditambah pula Emy berpakaian serupa dengan sahabat-sahabat mardhatillah, aku terdetik ingin lebih dekat dengannya. Kami berbual seketika sebelum tiba ke ruangan penumpang di dalam feri. Aku meminta izin untuk duduk di sebelahnya. Dia hanya tersenyum. Kemudian dia menoleh ke kiri pula.

“Min, saya nak duduk sebelah awak. Ada orang tak?" 
“Takde.” 
Aku hanya memerhati perbualan mereka. 
“Sempitlah kat sini.” Emy berkata sebelum berlalu pergi meninggalkanku di situ. 
Sempitkah tempat itu? Fikirku sendirian. Hanya Allah yang tahu perasaanku tatkala itu. Salahkah aku ingin berteman dengannya? Aku dahagakan ukhwah. Aku hampir menangis namun kutahan kerana aku telah bertekad untuk tidak menangis dengan hal seremeh itu. Tiada sesuatu pun yang terjadi kepada manusia ini kerana kebetulan. Pasti semua kerana Allah mahu ia menimpa ke atas aku.

Aku pasti Allah sedang mengujiku dengan seribu hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Aku harus perbetulkan niatku dan rebahkan hati sepenuhnya kepada Yang Maha Melihatku sekarang ini. Bukan bergantung harap kepada makhluk ciptaanNYA yang tidak sempurna. Aku tidak mempedulikan perasaanku ketika itu. Mata ku hidangkan dengan TV yang betul-betul di hadapanku tatkala ini. Ceritanya agak menarik. Tentang cinta seorang wanita gemuk terhadap lelaki kacak idaman ramai. Alah, cerita korea memang selalu gila. Namun kulayan juga kerana bosan. 


Feri sudah pun bergerak namun aku merasakan seakan sedang menonton TV di rumah kerana langsung tiada pergerakan dirasakan. Bagaimana pula Hanis yang mengatakan dirinya mabuk lauk itu? Adakah dia ok sekarang. Dia pasti ok bersama kawan-kawannya yang boleh menjaganya. Dia memang ramai kawan. Cuma aku yang tiada. Mungkin aku lebih selesa bersendiri kerana aku malu untuk bergaul bersama mereka. Aku tidak pandai untuk bergaul dengan cara mereka. Maka aku memilih untuk bersendiri.Bersendiri menjadian aku tidak lupa padaNYA. 

“Kepada semua penumpang. Sila bersiap sedia kerana Feri akan tiba sebentar sahaja lagi.” Aku tersentak.
Eh, cepatnya ! belum sempat aku ke ruang legar untuk menikmati keindahan alam sekitar melalui ruang legar feri itu. Aku bergegas keluar setelah cerita korea itu hamper berakhir. Aku juga ingin cuba menikmati kereronokan yang masih berbaki sedikit. Tiba di jeti, ada bas yang detang menjemput pelajar untuk ke UMSKAL. Aku mendapatkan bas yang ke tiga setelah penat berlari mendapatkan barisan hadapan.
“Ada orang ke kat sini?” Aku menyapa budak cina yang sedang duduk berdekatan pintu masuk. 
“Takde. Duduklah.” katanya sambil tersenyum. 
“Siapa nama kamu?” Tanyaku. 
“Chew.Kamu? soalnya pula. 
“Mimi..” Jawabku pula. 
“Wah senang nak panggil” Katanya ramah.
Aku tersenyum. Kami berborak tentang pelbagai perkara. Sudah agak lama aku tidak berpeluang berborak ceria begitu.Kerana budak cina itu melayan, aku senang berkongsi cerita.
“Hari pertama datang dah dapat coklat. Coklat nie sedaplah ! murah plak tu kat sini. Pasti gigi saya rosak kalau duk kat sini lame-lame.” Kataku padanya.
Dia tersenyum.
“Kamu seorang yang ceria ya ! ” katanya padaku. 
Aku terdiam. Betulkah apa yang sedang kudengar tatkala ini? Atau mungkin aku silap. Sepanjang 5 hari di UMS sana aku hanya seorang pendiam.. 
“What do you mean?” Tanyaku meminta kepastian. 
“Kamu seorang yang ceria.” Ulangnya lagi. 
“Oh, thanks.” Ucapku sambil tersenyum manis.
Mungkin memang sifatku yang selalu ingin kelihatan ceria biarpun hakikatnya aku kesunyian agaknya. Firkirku lagi. Terkenang lagi peristiwa empat hari lepas.
“Erm..menurut arahannya..Setem hasil tersebut hendaklah diremit baru diterima.” Hanis menyambung pernerangannya kepadaku.
Aku pula cuak kerana salah seorang sahabatku berkata tidak perlu maka aku tidak berbuat demikian. Malah tanganku kini giat meniru gaya tandatangan ibu saudaraku kerana terlupa meminta tanda tangannya semalam. Aku sempat menelefon cikngah meminta no kad pengenalannya. Cikngah juga sempat memberi kebenaran kepadaku untuk meniru tandatangannya. Engkau begitu berani mimi. Hatiku menuduh. Namun keberanianku hanya kerana bimbang dimarahi mama jika berlaku kesulitan. Sebolehnya aku ingin menguruskannya sendiri semampu aku.
“Arghh..matila saya kali ini.. Setem hasil lagi satu masalah.” Aku mengeluh sambil tanganku masih cuba berlatih menandatangani pelbagai rupa.
Hanis memerhatikan tindakanku.
“Errr..yeka awak rase macam tu. Tapi saya tak Nampak muka awak macam tengah risau pun.kalau saya dah menangis dah wak.Cuak kot.” Hanis menutur katanya.
Aku senyum kambing. Memang ini bukan sifat sebenarku namun kali ini aku begitu kuat untuk menganggap itu normal. Tapi aku begitu bersyukur sekali kerana pihak Universiti menerima borang itu biarpun tidak diremit.Malah bukan aku seorang sahaja begitu. Mungkin pihak Universiti sudah menjangkakan ramai golongan cuai seperti aku.Haha.aku ketawa lega.
“UMSKAL ni kecik sikit. So tak perlu bas nak kekuliah.” Abang fasilitator yang sedang berdiri di dalam bas itu bersuara mematikan lamunanku.
Aku tersenyum. Berita gembira ! hatiku menyahut. Aku memang tidak gemar dengan tempat yang terlalu besar seperti di UMS Kota Kinabalu. Bas hampir tiba. Aku segera menggalas beg dan bersedia untuk bangun.
“Excited Nampak !! ” Tegur abang fasilitator yang juga senior di tahun dua sekarang ini.
Aku tahu kerana sempat menangkap isi bicara perbualannya dengan beberapa junior sepertiku. Pada tag namanya tertera Fareez. Dia melayu tapi fasih berbahasa cina. Melopong aku mendengarnya bercakap dengan budak cina di sebelahku tadi. Sempat aku bertanya bagaimana dia begitu fasih. Namun tidak hairanlah jika jawapannya berketurunan cina di sebelah ayah.
“ Mesti lah !!” Balasku lalu menapak turun dari bas. 
Aku beratur mengambil barisan untuk mendaftar. Aku menarik pantas kunci bilik setelah sekian lama beratur untuk mendaftar. Aku penasaran ingin melihat wajah bilik. Masih sempat aku menarik nasi ayam yang tersedia di atas meja untuk pelajar lalu dibawaku ke bilik. Dua orang satu bilik? Bagiku ianya agak privasi dan aku turut merasakan kebebasan berukhwah tersekat di situ. Satu rumah 3 bilik dan 1 pintu untuk tandas manakala satu lagi untuk bilik mandi. Ada ruang tamu yang agak besar. Beranda di hadapan boleh dijadikan tempat melepaskan stress memandang keindahan alam. Beranda belakang disediakan tempat menjemur pakaian. Ruangan dapur turut tersedia namun kosong tanpa barang. Seolah aku kini sedang ke sebuah apartment kosong untuk di sewakan. Memang agak mewah. Namun sunyi. Di UMSKK seramai 4 orang satu bilik masih ok biarpun sedikit sempit,aku lebih selesa di sana. Sehari suntuk aku menghabiskan masa mengemas biliku. Aku ke kedai berdekatan membeli kelengkapan bilik yang masih kosong.
“ Ada wi-fi ke?” Tanyaku pelik melihat beberapa budak berbangsa india sedang melepak sambil melayari laman facaebook tanpa sebarang broadband terlekat pada laptop mereka. 
“ Ada la. Lambat betul la budak nie.orang dah lame tau. Baru sampai ke? Ape la..kita kan dah lame sampai.” Salah seorang daripada mereka berkata-kata.
Kurang asam! Aku tersenyum malu dibilang begitu. Mungkin kerana aku terlalu sibuk mengemas, mana mungkin secepat itu dapat menyelongkar tentang kewujudan internet di sini. Ah ! Tidak kisah la apa pun perkataan dari mulut mereka. Yang paling penting aku dapat bertemu dengan ‘ Pakcik Google ‘ selepas ini.

Hati berbunga ceria. Aku melompat ke atas katilku setelah puas hati dengan susunan barang-barang yang sudah kukemaskan. Dinding juga sudah ku hias. Tidak lupa pada gambar keluarga terutama mama dan abah tersayang. Aku tersenyum puas setelah menconteng dinding putih suci itu. Memang jenis tangan tak boleh duduk diam. Namun ada suatu perasaan kurasakan menusuk kalbuku. Mengapa hanya bilikku yang masih belum di huni pasangan?

Hatiku dilontar rasa sunyi. Kadang-kadang kulihat setiap orang yang berjalan pasti berpasangan. Ada berdua dan ada juga bertiga. Emy juga kulihat sentiasa berempat. Namun aku sudah tawar hati untuk menyertai. Bimbang aku mengundang suasana tidak aman antara mereka. Hanya aku yang memilih untuk bersendiri. Dari dulu aku memang begini. Sepanjang di matrik aku juga memilih untuk hidup bersendiri. Bukan aku tidak mahu bersosial, tapi kejadian seperti Emy semalam sering berlaku. Aku jadi rendah diri untuk berteman dengan sesiapa. Aku mungkin manusia aneh mungkin. Selalu kuberfikir begitu.

Maka kerana itu aku sentiasa bersendiri sehinggalah aku bertemu sahabat-sahabat mardhatillah di surau Muttaqin pada akhir semester tahun lepas semasa aku masih lagi belajar di matrikulasi pahang. Waku yang sekejap cuma sempat mereka mengajarku tentang ukhwah. Bukan sahaja sahabat di dunia malahan juga sahabat di akhirat. Sama-sama berkongsi ilmu. Berusrah membincangkan tentang zaman terkini serta berkasih sayang kerana Allah. Di situlah banyak masa terluangku di habiskan. Aku mencari kedamaian dulu di sini. Di UMSKAL yang baru ku huni ini. Namun masih gagal kutemui. 


Hari ke tiga aku di sini namun masih sahaja aku terasa kosong dan sunyi. Kesunyian yang tidak pernah aku alami sebelum ini. Mungkinkah kerana aku ‘homesick’? Ah tidak mungkin itu berlaku. Berjauhan keluarga itu perkara biasa. Bila mana aku sudah menganggap pergi belajar itu satu perjuangan jihad yang wajib untuk menuntut ilmu, tiada istilah ‘homesick’ bagiku. Aku sudah siapkan mental dan juga fizikalku untuk melalui kehidupan baru seperti sekarang. Aku yang memilihnya dan aku yang memutuskan untuk pergi. Tiada paksaan mahupun larangan daripada keluarga yang terpaksa aku hadapi.

Mungkin mereka yakin aku cukup dewasa membuat keputusan sendiri. Masih kuteliti permulaan kuterima tawaran ke Universiti ini. Aku begitu nekad untuk pergi dan ‘lesen’ kebenaran daripada abah terutamanya, secara langsung juga. Abah begitu percayakan aku mengapa aku sendiri pula sekarang tidak percayakan diri sendiri? Masihku ingat lagi kejadian pada bulan lepas bagaimana debaran menusuk diriku menunggu keputusan universiti lalu dengan pantas aku menyahut peluang yang ada.

Aku melangkah masuk ke dalam LRT setelah beberapa minit menanti di stesen tersebut.Masih tidak kulupa kata-kata rakan sekerjaku Ezza sebelum pulang dari tempat kerja tadi.

“Eh Mimi , awak tak rase pape ke nervous ke? Sapa Ezza tiba-tiba membuatkan aku tersentak seketika.“Err..kenpa pula nak rase macam tu?” Aku mengerutkan dahi tanda tidak faham. 
Jarang benar Ezza yang aku kenal sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai Cashier yang semestinya tiada masa untuk berbual seperti aku kecuali ada urusan penting. 
“Ala..mimi ni. Hari ni kan tarikh kuar result universiti.” Ezza menerangkan. 
“Err..yeka? saya pun sudah lupa. Saya dengar result bulan 9 apesal plak jadi awal?” Soalku pula untuk 'cover line'. 
“Bulan 9 tu kite dah nak daftar masuk universiti dah” Ezza menyedarkanku. 
“Err..yeka? Ish…malunye saya..huhu..” Aku menunduk menutup malu. 
“So macam mane?” Soal Ezza kembali. 
“Ala..nak taknak, kite tetap kene check jugak kan? Hmm..balik kerje nanti kite check aje la..ape susah..” Ceh, senang sahaja mulutku berkata-kata.
Lain dimulut dan lain pula di hati. Sedangkan Ezza yang kukenal memang budak pintar dan aku yakini resultnya agak cemerlang berbanding aku punyai getaran rasa itu, masakan aku tidak? Ezza tersenyum mendengar kata-kataku. Manis senyumannya, semanis dan secantik orangnya juga. Aku tidak pasti mengapa dia tersenyum. Mungkin senang dengan jawapanku ataupu tersenyum kerana tingkahku yang agak bersahaja dan berlagak tenang. 
“Ok lah kalau macam tu. Semoga Berjaya ek. After go back, we check together and then don’t forget to tell me your result.okay see you tomorrow..” Aku menyambung kata-kataku sebelum menapak pulang.
Masih berlagak tenang biarpun belum pasti entahkan dapat entahkan tidak dengan keputusanku yang bukanlah cemerlang sepertimana pelajar lain. Mungkin mentalku sudah cukup bersedia menerima sebarang kemungkinan, kerana aku tahu rezeki itu datangnya daripada Allah, maka kuyakinkan diriku hanya padaNYA yang satu. InsyaAllah, jika memang ada rezeki untuk aku maka aku bersyukur. Namun jika sebaliknya, aku akan tetap bersyukur memikirkan pasti ada hikmah yang tersembunyi. Aku serahkan segalanya padaNYA Yang Satu.
“Stesen terakhir..SENTUL TIMUR. Terima kasih kerana menggunakan LRT aliran Ampang. Last station..SENTUL TIMUR. Thank you for using Ampang line LRT.” Aku tersentak.
Begitu lama aku termenung di dalam LRT itu. Aku segera pulang ke rumah sewa yang di diamiku bersama abang dan juga kakak di Sentul Timur. Dalam keletihan kerja yang masih bersisa, tanganku pantas membuka laptop masih tetap bertenaga bagaikan tidak menghiraukan penat itu. Jemariku mula menaip mencari laman web Keputusan Tawaran Universiti. Lama ku cari namun tetap sahaja gagal. Aku beristighfar seketika. Mungkin aku terlalu cemas menyebabkan usahaku menemui jalan buntu. Aku meminta bantuan kakak dan abangku sedang asyik menonton cerita yang dibuka melalu laptop kakak. Entah cerita apa, aku malas mengambil tahu kerana difikiranku telah kusut dengan masalah tadi.
“Err..Ira, boleh tak tolong Mimi, camne nak check upu.harini tarikh nyer..” Tanyaku dengan tudung kerja yang masih belum kutanggal dan sudah tentulah belum sempat mandi sejak tiba tadi. 
“Sana lah laptop Ejo. Laptop Ira tengah tengok citer nie.” Kakakku berkata sambil matanya masih pada cerita yang ditonton. 
“Bukan suruh laptop, tapi nak mintak Ira tolong carikan. Mimi cari dari tadi tak jumpa-jumpa pun..”Aku merengek. 
“Ye la. Meh sini nak cari. Hish..tak menyempat-nyempat. Sampai tak sempat mandi dulu..” Kakak akhirnya mencari biarpun mulutnya membebel tentang aku.
Abangku turut memerhati usaha kami tanpa bicara.
“Ishh..betul ke nie?" Soal kakak kurang percaya.“Kenape? Mimi tak dapat ek?”Soalku gugup. 
Saat ini jantungku pantas bertindak mengepam darah dengan begitu cepat sekali ke seluruh tubuh kecilku. Aku menarik nafas sedalamnya. Cuba untuk bertenang sewaktu itu. 
“Mimi memang dapat tawaran ijazah sarjana muda tapi…dekat sabah?” soal kakak tidak percaya.
Aku menoleh seakan tidak percaya. Aku mendapat bidang IT. Selama ini aku cuba untuk mengelak daripada bidang sains kerana aku paling membenci subjek kimia. Kini tawaran di depan mata dengan subjek yang sangat aku harapkan. Pasti permohonanku untuk mengambil IT diluluskan kerana keputusanku bagi subjek science computer yang diambil sewaktu di matrik dulu agak cemerlang berbanding subjek lain.

Aku gembira biarpun jauh namun aku nekad untuk pergi. Inilah peluangku. Aku tidak mungkin sia-siakan peluang yang ada.Hadirnya peluang bukan untuk disia-siakan dengan perasaan takut berjauhan. Ya, aku bukan lagi Mimi yang terlalu manja untuk menyahut cabaran. Keputusan ingin pergi dibuat oleh aku serta merta. Mama dah abah sentiasa menyokongku biarpun keputusanku pilih untuk ke sini berjauhan dari mereka. Mengingati pengorbanan mereka dalam usaha menguruskan kemasukan university ini sudah cukup membuatkan air mataku menitis. 


Belum lagi kulihat pancaran kasih sayang dari abah. Abah jarang menunjukkan kasih sayangnya, namun sebelumku pergi sejauh ini sempat aku merasai aliran kasihnya terhadap aku. 

* * * * *
“Kalau tak dapat sumbangan Maidam tu takpela. Sekurangnya kita mencuba. Memang jarang dapat bende macam nie..kalu dapat Alhamdulillah.” Mama bersuara.
Aku hanya mendengar. Kami berjalan ke kereta pada waktu itu untuk pulang ke rumah setelah selesai urusanku untuk dapat sumbangan bagi pelajar yang memasuki universiti. Aku memerhati jalan dan saat itu aku melihat kulit durian di pinggir jalan. Siapalah yang membuang di merata tempat ini? Sudahla begitu , berani pula membuatkan air liurku hampir terleleh kerana terlalu lama tidak dapat merasai buah itu.
“Eh, kat sana ade jual durianla..patutla ade bau sampai kat sini.” Mama berkata-kata. Patutlah ada kulit durian yang tadinya kulihat dipinggir jalan. 
“Nak buat ape durian. Biarla dia kat situ. Hari tu kan dah beli.” Abah berkata.
Aku sudah dapat mengagak jawapan abah. Memang kebiasaan bagi abah bersikap begitu. Maka kerana itulah, aku tidak berharap tinggi untuk memakan durian itu biarpun tadi hampir terleleh air liur teringin.
“Ala..Mimi tak makan lagi. Dia kan takde mase beli hari tu. Nanti dah nak pergi belajar jauh.” Mama memujuk.  
Saat itu kami telah pun sampai ke kereta.  
“Eh, mana abah pergi?” Aku menyoal mama.Pelik apabila Abah menghilang tiba-tiba.
“Beli durian untuk anak kesayangan die la..” Kata-kata mama membuatkan aku melopong.
Ish..biar betul? Air mataku mengalir terharu namun sempat ku tepis. Malu jika mama melihat. Hatiku mudah tersentuh namun malu jika mereka melihatku berkeadaan begitu. Saat itu aku berjanji bahawasanya aku tidak mungkin akan menjadikan harapan mereka sia-sia. Aku akan buktikan segulung ijazah pada mereka. Itu janjiku. Biarpun Cuma terungkap di dasar hati, tidak terungkap nyata di depan mereka, cukuplah aku sudah berjanji pada diri sendiri untuk terus berjuang di samping tugas sebagai seorang hamba Allah iaitu manusia mesti belajar hingga ke liang lahad namun akan ku kuatkan kaki yang melangkah. Di sisi Yang Maha Pemurah kusandarkan harapan, kepada mama dan abah pula kusandarkan impian murniku untuk menghadiahkan mereka kejayaan. Biarpun aku berdiri kesepian di UMS kini, namun semua itu tidak boleh mematahkan semangatku dalam berjuang. Air mataku terus mengalir laju.
“Ya Allah, aku akan terus bersabar dengan ujianMU sepanjang di sini. Pasti Engkau ingin memberiku sahabat terbaik nanti. Kerana itu Engkau turunkan ujian sebegini kepadaku. Aku akan lalui ujianMU dengan tabah. Aku tidak akan sunyi selagi Engkau bersamaku. Ampunkan aku ya Allah..kerana hampir menyalahkan keadaan dan menyesal dengan pilihanku yang telah pun menjadi takdir dalam hidupku.” Ucapan kesedaran muncul dari dasar hatiku.
Bagi menghilangkan sunyi, aku menarik laptopku untuk online di bawah kediaman disediakan ruangan Wi-Fi di mana semua pelajar boleh menggunakannya bila-bila masa sahaja dengan percuma. Di bilikku Wi-Fi tersebut tidak dapat di sambungkan. Mungkin sengaja mereka menyediakan internet hanya pada ruang legar yang dilengkapi meja untuk kemudahan pelajar. Mungkin mereka tidak ingin pelajar leka menggunakan internet di bilik.

Namun aku tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku masih boleh melayari internet biarpun harus turun ke ruang bawah sekali kediamanku. Aku berhubung sebentar dengan mama melalui skype. Seperti sebelum ini, wajah cekal mama tidak berubah. Mukanya sahaja makin berkedut dimamah usia. Kupohon semoga kesihatannya di jaga oleh Allah. Mama ada bertanya bagaimana keadaanku. Sudahkah aku memiliki teman . Disebabkan waktu itu kebetulan ada budak Terengganu yang ku jumpa untuk duit Yayasan bersama aku di situ,maka aku jawab biasa. Sudah ada teman bagi menenangkan mama biarpun hubungan aku dengan budak itu tidak lebih daripada hanya kenal-kenal sahaja .

Bukanlah teman rapat seperti Shahirah, sahabat pertamaku semasa di Matrik. Cuma dia yang berani mendekatiku yang berwajah masam mencuka tatkala itu. Menjadikan muka ketatku longgar dengan senyuman dan dengan mudah aku belajar darinya cara-cara terbaik dalam mencari teman. Dia teman istimewa dalam hidupku. Dia bukanlah berasal dari keluarga yang senang, namun ramai manusia menyayangi dan menghargainya. Dia juga berbakat menjadi pemimpin. Mungkin sewaktu di sekolah Maahad Muhammadi perempuan dulu dia ada memegang jawatan.

Jadi tidak hairanlah semasa pemilhan calon dia sempat menarikku sekali dengannya untuk kehadapan akhirnya dia terpilih sebagai penolong ketua blok manakala aku pula sebagai AJK 3K blok biarpun dengan wajah gementar aku berbicara di hadapan khalayak ramai untuk jawatan itu. Aku bertuah memiliki sahabat begitu. Dia sahabat pembakar semangat. Saat itu aku tidak bersendirian begini kerana aku memiliki sahabat sebaik Sahirah. Mungkin dia utusan Allah pada waktu itu untuk aku belajar darinya dan kini peluang yang Allah sediakan untukku buktikan yang aku mampu berdiri sebagaimana yang telah kupelajari dari Shahirah dahulu.

‘ You Are not lonely, When Allah is with you’
Aku sempat melayari facebook setelah selesai skype bersama mama dan adik-adikku, sempat aku membaca kata-kata ini pada sebuah gambar.Lalu aku share pada wall aku untuk dibaca setiap kali ke wall bagi mandikan diriku dengan kata-kata semangat. Ramai yang komen memberi semangat dan tidak kurang pula bertanya khabar. Kesepian sedikit terisi. Dari jauh masih ramai sahabat-sahabatku yang memberi semangat dan harapan. Mustahil aku bersendirian. Aku punya seribu teman yang datang dari pelbagai pelosok. Tidaklah terhad di Labuan ini sahaja. Aku kembali tersenyum. 
* * * * * 
Aku menapak masuk ke dalam Dewan Utama dengan perasaan malas. Hari ini minggu terakhir minggu suai mesra. Program bersama sekolah. Itulah tajuk program hari ini. Siapalah kenalanku pula pada pagi ini yang memiliki program Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL) sepertiku. Hari ini aku nekad ingin mencari teman seperjuangan dalam fakulti yang sama dan ingin menjadikannya betul-betul rakan akrab dan bukanlah berkenalan hanya sekadar lalu di program itu sahaja.
“ Sila penuhkan ruang hadapan.” Kakak fasilitator itu sempat memesan kepadaku. Aku mengangguk lalu menuju ke barisan hadapan.“Ada orang di sini?” Aku bertanya kepada dua pelajar muslimah bertudung labuh yang secara kebetulan berada di situ.
Mungkin juga mereka punyai kawan mereka sendiri untuk ditandakan tempat sepertimana kejadian Emy tempoh hari. Bukanlah aku begitu terasa dengan Emy sehinggakan aku menganggap sama sahaja dengan muslimah yang lain namun kerana aku lebih berhati-hati. Aku hanya ingin mengikut arahan fasi tadi supaya duduk di hadapan dan bukanlah tudung labuh sasaran untuk kujadikan teman tatkala itu kerana aku tidak mahu lagi menilai rupa untuk berteman. 

Peristiwa Emy sudah cukup mengajarku bahawa tidak semestinya wanita bertudung labuh itu semuanya jenis yang menjaga seperti mana sahabat-sahabat mardhatillah dulu. Mungkin salahku terlalu memilih, maka kubuka ruang positif dalam minda ini untuk terima siapapun sahabat yang ikhlas bersamaku dan apapun sifat peribadi mereka akan aku terima kerana tiada siapa dalam dunia ini yang sempurna. Aku pernah ada Wahida yang sangat baik sebagai rakan kelasku dimatrik dulu. sebolehnya aku ingin mencari teman sepertinya juga.

“Sebelah saya masih kosong.” Salah seorang daripada mereka menjawab. 
Aku terus melabuhkan punggung di situ. Kami mula berta’aruf.
“Nama saya Alia. Awak nama ape? Ambik kos ape?” 
seorang muslimah berjilbab unggu muda mula bermesra denganku. Hampir sama caranya seperti Shahirah mula-mula menyapa aku dulu.
“Saya Mimi. Ambil kos E-Dagang. Awak?” Giliranku pula bertanya. 
“Saya Multimedia. Kiranya kita ni satu fakulti la..Sekolah Sains Informatik Labuan kan?” Kata-kata Alia membuatkan aku terasa nyaman.
Cara dia bertutur juga memiliki gaya sebetulnya seorang muslimah. Aku tidak menjangka akan menemui lagi kenalan baru yang perwatakannya masih dijaga. Mungkin dia boleh membimbingku nanti. Mungkin juga Allah mendengar segala doaku dan ingin mengabulkan permintaanku melalu ini.
‘Dan jika kamu di uji, maka bersabarlah sehingga Allah membuka ruang kepadamu dari arah yang tidak disangka-sangkakan..’ 
Masih kuingat lagi kata-kata itu.
“Orang mana?” Alia menyoal lagi tanpa sempat aku memberi respon.
Begitu semangat dan peramah sebijik shahirah. Nah, Allah dah tunaikan impian yang datang jauh dari lubuk jiwa. Hatiku yang kontang beberapa hari lalu kini basah di banjiri air ukhwah yang kurasakan mengalir dalam tubuhku.
“Terengganu” Jawabku.  
“Eh, same lagi. Banyak pula kebetulan same. Memang jodoh agaknya Allah pertemukan kita. Bolehla kita balik sekali ke Terengganu. Saya dekat Dungun. Awak Terengganu dekat mana? ” Alia begitu bersemangat dalam bertutur. 
“Daerah Marang.”Alia tersenyum.
Aku yakin dipertemukan Allah dengan teman yang bukan sahaja boleh berjihad dalam belajar namun mungkin juga dalam perjuangan agama. Dalam usaha aku ingin memperbaiki diriku yang masih lagi belum layak bergelar muslimah solehah , Allah menghantar pembimbing baru untukku. Alhamdulillah. Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang di uruskanNYA. Aku sebagai hambanya sangat bersyukur. 

“Eh, lupa pula awak kat sebelah nama ape?” Aku pula tiba-tiba menjadi peramah menyoal seorang lagi muslimah disebelahku.
Setelah yakin dengan sifat Alia, aku menjadi sedikit peramah dan berani bersuara.
“Saya Aisyah. Lahir kat Pahang, tapi duk kat klate jah.”  
Syukurlah. Kedua mereka adalah peramah. 
“Dulu Matrik mana? Ambik modul berapa?” Alia masih menyoalku bersemangat tanpa sempat aku berkenalan lebih lanjut dengan Aisyah. 
“Matrik gambang. Saya ambik modul dua” 
“Hmm..modul dua? Kenal tak Izzat?” Terpancul nama budak kelas aku semasa di matrik dulu pada soalan Alia.
Apa pula hubungan dia kali ini. Memang cukup ramai golongan sekolah agama yang baru ku kenal sepanjang di matrik ada bertanya soal budak kelasku itu. Mungkin memiliki ciri-ciri suami soleh idaman muslimah. Mungkin juga! Aku tidak mahu bersaing dengan mereka. Cukuplah aku fikirkan ingin memperbetulkan diri terlebih dahulu sebelum dapat memiliki calon suami yang soleh. Cukuplah aku hanya memohon kepada Allah dikurniakan pemimpin yang soleh untukku kelak. Tidak perlulah aku sibuk berfikir sekarang. Aku mesti jadi solehah dahulu baru boleh bermimpikan lelaki soleh kerana ‘suami yang soleh untuk isteri yang solehah’. 
“Kenal. Satu kelas lagi. Macam mane boleh kenal dia?”Aku bertanya ingin tahu sebabnya, sebelum aku membuat andaian pelik.
Memang tidak hairan budak kelasku itu dari dulu memang ramai peminat. Bermacam soalan ditanyakan kepadaku tentangnya hanya kerana aku satu kelas dengannya. Golongan peminatnya pula bukan calang orang biasa. Mereka semua muslimah bertudung labuh. Biarpun mereka meminati hanya untuk diri mereka tanpa meluah cukup aku katakan budak kelasku itu memang sangat bertuah.
“Dia dulu satu sekolah dengan saya. SKBB.” Kata Alia pula memberi jawapan biasa.
Maka aku tepis semua andaian merepek tadi itu. Sebelum taklimat itu berakhir, aku sempat mengambil nombor telefon mereka berdua untuk bertemu lagi esok untuk mendaftar subjek serta membuat jadual secara online di Megalab. Kami pulang bersama ke kediaman masing-masing.
“Wah, kediaman Beta 6 mimi duduk? Saya jelez..” Kata Alia sambil membisikkan juga kepada Aisyah.
Tidak sangka mereka adalah satu bilik. Mereka roommate. Itu sebenarnya impian aku ingin memiliki roommate seperti mereka. Mereka berdua begitu serasi.
“A’ah la..Kami jelez..” Sambung Aisyah pula tiba-tiba selepas mereka berdua memandang bangunan yang aku duduki.
Mereka berada di bangunan Beta 11. Kukira sama sahaja. Apa beza nya?
“Eh, kenapa pulak nye nak jelez. Bukan ke same je..?” Soalku pada mereka hairan.
Puas aku cuba perhatikan perbezaan kedua bangunan kediaman itu namun gagal.
“Rumah awak agak mewah. Ada beranda. Kami tidak..” Kata mereka serentak.
Aku tersenyum manis. Apalah ertinya rumah semewah itu bagiku jika aku bersendirian kesunyian di situ. Jika aku di tempat mereka akulah paling beruntung dapat lebih dekat dengan mereka. Namun berkenalan dengan mereka pun aku sudah cukup bersyukur.
“Ow..Jom tukar ! ” Aku berseloroh. 
Ketawa mereka terburai. Kami sempat bersalaman tanda sebuah perkenalan. Ukhwah itu mengalir hangat dari persalaman antara aku dengan mereka. Aku melangkah masuk kebilik sepi itu dengan perasaan berbunga tidak seperti selalunya mendung dan muram. Biarpun bilikku kini sunyi tanpa sesiapa, namun di luar sana aku tidak berkeseorangan. Ada mereka di samping aku. Dalam sujud syukurku sempat aku berdoa di dalam hati supaya Allah kekalkan rasa ini untuk aku terus berjuang menggapai cita-citaku bukan cukup setakat segulung ijazah malahan juga perjuangan agama. Aku mohon supaya perjuangan ini berjaya aku perjuangkan hingga ke akhir hayatku.
“Pakkk..!!” Aku menekan titik noktah pada keyboard laptopku.
Dengan ini selesai sudah sebuah cerpen kolot milik aku. Aku menulisnya sepanjang mendengar taklimat minggu orientasiku 6 hari ini. Cerita ini ditunggu oleh Yunie yang sangat menggemari membaca segala lakaran draf cerpenku yang masih belum siap. Aku berjanji untuk mengepost pada facebooknya untuk dia baca dan ketahui kisah lanjut daripada lakaran draf cerpenku yang masih belum siap tetapi sudah di bacanya separuh.
-TAMAT-


p/s : Mama juga mengetahui tentang penulisanku dan ingin tahu keadaanku di sini. Mama, apabila mama membaca cerpen ini seratus peratus tulen memang betul-betul terjadi di sini. Mimi menulis setiap inci kejadian yang berlaku supaya mama tahu tentang keadaan anak mama biarpun berada dikejauhan mata dengan menghayati cerita ini. Sekian ini sahaja dari mimi. Doakan kejayaan Mimi, mama. Mimi pasti akan cuba semampu mimi disini, InsyaAllah. Bitaufiq wannajah..!! Sayang mama dan abah selamanya.

No comments:

Post a Comment

(sumber: Buku Memperbaharui Komitmen Dakwah by Muhammad Abduh)

"Meskipun kitalah yang benar, namun janganlah membesar-mebesarkan kelemahan dan kesalahan orang lain."