Tajdid Niat

Tulislah perkara yang baik-baik, I’Allah orang lain akan dapat manfaatnya.

Friday, July 10, 2015

Cerpen :Tarbiyah di Malaysian Airlines

Sara terduduk dikerusi menunggu. Panahan khuatir menginjak jemala. Bibirnya tidak berhenti melantun Istighfar. Dia masih mengingati pesanan yang seringkali dikirim oleh murabbinya tatkala dia dihamparkan jalan musibah.
Nabi s.a.w yang bermaksud : "Barang siapa memperbanyak Istighfar maka Allah akan membebaskannya dari kedukaan, dan memberinya jalan keluar bagi kesempitannya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak diduga-duga" (Hadis Riwayat Abu Dawud).
Masih jelas di ingatannya serta terngiang-ngiang telinganya akan kejadian sebentar tadi. Saat dia disekat dari memasuki balai perlepasan.

"Maaf cik. Beg cik ni tak boleh lepas naik ke atas kabin. cik kena masukkan dekat kargo. Tak lepas ni cik." Tegas kata-kata sekuriti seraya menghalakan jari telunjuknya ke arah kaunter kargo.

Beg galas jenis hiking selalu dibawanya naik ke atas kabin ketika naik flight. biasanya kapal terbang jenis Air Asia tidak pernah menjadikannya suatu masalah. 

"Tapi cik, kata kawan saya, boleh bawa naik beg seberat 10KG." Sarat harapan pada bicara sara. 

"Maaf cik. 7KG sahaja. siapa pula pandai pandai cakap 10KG ni?" balas pakcik sekuriti itu.
"Saya bertanya kepada sahabat saya yang sudah biasa naik kapal terbang MAS ni." Tutur sara terkilan.

"Cuba cik tengok syarat dia ni. Apa-apa pun cik, ini tetap syarat. Maaf, saya tak boleh lepaskan cik ni. barang cik kena melalui kargo juga. " Sekuriti menepuk-nepuk papan tanda bertanda 7KG ONLY. 

Kaku. Kelu. Mindanya beku. Jasadnya bungkam. Tidak tahu hendak berbuat apa-apa lagi. kebuntuan terus membelenggu setelah percubaan Sara menghantarkan ke kargo juga gagal.
"Encik, saya nak masukkan ke kargo. Barang saya tadi sudah dimasukkan." Sara mencuba nasib di kaunter. 

"Maaf cik. kuota luggage cik dah penuh. Tak muat ni cik." Ujar pengurus kaunter. 

"Erm, kalau bayaran berapa pula cik?" Sara masih berharap harganya masih boleh dikurangkan. 

"Serius cik? Mahal ni cik. sebab cik buat transit dua flight." Jawab pengurus itu lagi.

"Berapa?" Soal Sara lagi. Hatinya berzikir. berharap masih kurang dari RM200.

"Harganya mencecah RM500 ni cik." Bagai sebuah badai yang maha ganas yang merobek sangkar hatinya. Seakan jantung tercabut Sara bergolek-golek jatuh kebumi kerana terlalu terkejut. 

"Masya-Allah. Mahalnya. Tak boleh kurang ke encik?" Sara masih merayu. Wajahnya sedikit tertunduk. 

"Maaf cik. Tak boleh kurang ni cik. Sebab dua kali transit" Luluh hati Sara saat itu.
  
'Laa Hawla Wala Kuwwata illa billahil 'Aliyyul 'Adzim..' 

Di dalam hatinya bersambungan dengan zikrullah meminta pertolongan Allah. Diulang baca supaya tetap tenang. 

Mana mungkin dia bakal meninggalkan beg itu disitu. Semua barangan dikandung beg itu ada kelengkapan barang palapes. Mahal untuk dibeli semula. Mencecah harga beratus-ratus. Bukanlah murah.

Ruang menunggu masuk ke balai pelepasan lengang sementelah semua penumpang sudah pun masuk ke perut pesawat berikutan waktu berlepas sudah tinggal beberapa minit. Hanya Sara yang masih tersadai disitu. Dia ditahan untuk masuk. Ini pertamakali bagi seumur hidupnya, menaiki sebuah kapal terbang jenis Malaysian Airlines. 

'Ikhtiar lagi Sara. I'Allah. Moga Allah bukakan pintu rezeki buatmu. Allah takkan hampakan hambaNya yang berusaha dengan gigih kecuali Dia punyai perancanganNya yang lebih baik.' Bisikan itu berbicara halus menusuk qalbunya. Aksara itu lah yang seringkali diucapkan oleh para sahabatnya tatkala dia lemah. Putus asa adalah musuh utama. Dia memuhasabah diri. Cuba meyakinkan diri, bahawa setiap kesulitan pasti ada kesenangan. Sara menyeka titis mutiara yang gugur dari tubir matanya. Dalam walang, sukmanya berdesir tenang. Sara percaya dugaan ini tepu dengan makrifat walau situasi berduka lara. 
"Panggilan terakhir untuk pesawat ke Kuala Lumpur.." Corong mikrofon mengeluarkan bunyi. 

'Allah. bantulah hamba.. Hanya Engkau tempat hamba bergantung harap. Tiada upaya diri ini tanpa pertolongan dariMu.' Hati sara memohon doa. Sara membuat percubaan terakhir. kali ini, dia berlari menuju ke arah kaunter Customer Service. 

" Abang.. Bolehkah saya minta dikurangkan harganya. Saya tidak lepas bahagian kabin. Kargo pula harganya sangat mahal. Tidak cukup wang saya. bolehkan saya minta kurang..please.." Sara separuh merayu. Dia tiada pilihan lagi 

" Minta I/C dan boarding pass." Pinta pengurus itu. 

" Abang, saya first time naik MAS. Saya tak tahu. Flight saya dah nak berlepas." Ujar Sara, usai menyerahkan i/c dan boarding pass kepada pengurus itu. 

Hatinya tidak berhenti memohon supaya Allah lembutkan hati Abang itu.

"Mahal ni, sebab Adik ambil transit ni. Biasanya memang cuma 7KG je boleh lepas dik kalau kabin. Takpelah. adik cepat-cepat pergi gate. Saya uruskan kargo. Tapi jangan buat lagi ya." Pengurus itu memberi jawapan yang melegakan hati sara. Serasa hatinya, seolah mahu bersujud syukur di situ.

"Betul ke ni bang? Terima Kasih sangat bang." Sara terharu dengan rezeki Allah kurniakan padanya. Bukan mimpi. Ini mustahil dapat. Terlalu banyak kisah luahan manusia-manusia yang terlepas flight di Internet. Semuanya komen negatif tentang service. 

"Ya. Dah dah. Jangan menangis lagi. Pergi kejar flight. kan terlepas pulak." 

'Alhamdulillah 'Alal Kullihal'

 Sara meraba-raba Atmanya. Dalam hatinya tidak putus-putus ungkapan kata-kata syukur bergema. Terharu dengan kasih Sang Maha Pemberi Rezeki. Rasa syukur bertebaran memenuhi hati.

Sara berlari ke pintu gate yang hampir ditutup. Dia masuk ke perut pesawat dengan perasaan bercampur baur. Dia tenggelam dalam keharuan. Larut dalam gelora perasaan. Tangis itu mencetuskan gelombang keinsafan dalam sukma. Air mutiara jernih terus mengalir menggambarkan betapa terusiknya hati seorang hamba. Betapa baiknya Sang Maha Pengasih. Sara merasakan bahawa ujian dariNya itulah tarbiyah terbesar yang perolehinya hari ini. Betapa dia menghayati kejadian tadi untuk ditadabburi oleh hati. Maha Hebat Allah hanya dengan mengatakan, 'kun Fayakun'. Pabila Allah katakan 'Jadi, maka jadilah ia.'

Sungguh ujianNya itu adalah tarbiyah hidup. Malah, dengan ujian itulah kita mengenal erti kehidupan. Ketahuilah bahawa ujian itu tanda Allah swt menyayangi diri kita. Oleh itu, Dia menurunkan sedikit ujian agar kita tidak terus tersesat di dalam kegelapan dan alpa dengan kesenangan hidup. Ketika Dia menghulurkan cahaya kegemilangan-Nya dikala kesusahan, sambutlah ia dengan penuh mesra sambil mengucapkan kalimah Alhamdulillah. 

1 comment:

(sumber: Buku Memperbaharui Komitmen Dakwah by Muhammad Abduh)

"Meskipun kitalah yang benar, namun janganlah membesar-mebesarkan kelemahan dan kesalahan orang lain."