Tajdid Niat

Tulislah perkara yang baik-baik, I’Allah orang lain akan dapat manfaatnya.

Saturday, November 12, 2016

Cerpen : Rahmat Allah


Singgah MYDIN cari barang. Puas pusing.
Akhirnya jumpa barang. Berjalan menuju kaunter.

"Adik, ada kad MYDIN tak?" Satu suara menyapa.

Aku menoleh. Seorang makcik lingkungan umur 40-an.

"Maaf makcik, saya tiada kad MYDIN." Jawabku.

"Oh. Makcik ada kad. Tapi hari ini tertinggal pulak." Ujarnya lagi.

Kulihat bakulnya penuh barang. Terbit rasa kasihan dihati.

"Tapi makcik, saya ada kad lain yang boleh buat potongan harga barang. Cuma, barang tu saya kena bayarkan. Sebab ini kad siswa universiti." Tuturku pula.

"Oh. Ye ke? Ok. Terima kasih dik." Senyumannya sampai pipi.

Aku bahagia melihat senyumannya. Seakan perasan gembira dalam dirinya mengalir juga kedalam diriku.

Ramai orang disitu. Kami terpaksa beratur panjang. 

"Ramai orang lah dik. Takpelah dik. Tak payah lah." Ujarnya rasa bersalah.

"Eh. Takpe makcik. Okay je." Tuturku pula.

Pipinya kembali berhias senyuman. Aku membalas senyumannya. Tapi tidak pasti dia mampu melihat atau tidak. Senyumku tersembunyi disebalik kain. 

Senyumannya semakin melebar. Aku yakin dia boleh membaca senyumanku ini. Dulu, dua perkara aku risaukan jika berniqab. Mad'u takut didekati dan senyumku tak dapat dilihat oleh manusia lain. Sedangkan dua benda itu, penting dalam hidupku.

Aku suka bergaul dengan sesiapa saja yang baru kukenal. Aku juga suka sebar senyuman. Senyuman itu satu sedekah. Sedekah yang tidak perlukan modal. Senyuman itu adalah cara kita menyebarkan cas-cas positif kepada orang.

Bahagia itu sesuatu yang boleh berjangkit. Bila kita senyum, orang lain tertarik untuk senyum. Senyuman itu sesuatu yang gembira. Bila orang lain gembira, kita akan turunt gembira.

Sedangkan kata habib Ali, memasukkan sesuatu yang gembira kedalam hati manusia yang bersedih itu, sesuatu sedekah. Mudahnya bersedekah dengan senyuman.

Setelah sekian lama memakai niqab, aku rasa sama saja keadaannya. 

Makcik ini tidak rasa takut dengan aku yang tinggal mata dua biji saja ni. Dia tegur ramah saja. Tidak negatif. Alhamdulillah.

Yang perlu diperbaiki olehku adalah persepsi. Aku perlu yakin sesuatu. Iaitu bila kita niat lillahi'ta'ala, I'Allah semuanya Allah akan permudahkan. Cumanya, niat itu kena selalu diperbetulkan. Niat itu mudah tersasar oleh banyak keadaan. Kerana itu ianya perlu sentiasa diperbaiki. Terutamanya bila tentang niqab. Silap cara, mudah terkena fitnah.

"Beli apa tu dik? Soal makcik itu lagi.

"Losyen Pati halia makcik." Jawabku lagi.

"Nak buat apa?" Berkerut dahinya.

"Oh ini saya beli untuk adik saya. Dia teringin nak kurus." Ujarnya ku bersahaja.

"Oh.. dia angguk kepala. Faham.

"Makcik minta maaf ya, buat adik terlambat." Tuturnya lagi. Belum habis rasa bersalah.

"Takpe makcik. Takde masalah la. Ok je." Aku menenangkan hatinya.

Dia senyum lagi. Murah dengan senyuman. Memang aku rancang sekejap saja singgah. Setelah itu, aku perlu berkejar jauh lagi ke bandar. Ada Usrah. Tapi, aku di pertemukan oleh Allah, seseorang yang boleh aku beri kebaikan padanya. Aku akan utamakan dia. Untuk tunaikan hak sebagai saudara semuslim. Kerana aku cintakan sebuah perkenalan.

Keadaan yang berlaku ini, buat aku teringat akan suatu kisah. Kisahnya memberi motivasi padaku untuk membina peribadi dan personaliti diri. Buku padanya ada hikmah. Tulisan oleh Dr. Muhaya dan Baharuddin Bekri.

Tajuk kecil buku itu mengenai topik hati.

'Hatinya Itu Terlalu Besar.'

Penulis buku itu seorang yang begitu percaya pada Rahmat Allah. Rahmat Allah boleh turun dalam pelbagai jenis kebaikan yang dilakukan oleh manusia. Manusia cuma tinggal pilih saja. Kebaikan macam mana dia nak buat.

Namun, penulis tu kata, bercakap pasal Rahmat memang mudah. Tapi mendapatkannya, susah. 

Suatu hari, dia terjumpa seorang cleaner. Masih muda. Cleaner muda itu lah bermula segala cerita tarbiyahnya. Cleaner muda itu pertama kali bekerja membersihkan surau pada pagi itu. Lalu dibersihkan sepenuh hati. Maklumlah, sebagai orang baru, apa saja tidak kena dimata, pasti diambil untuk dibersihkan. Akhirnya cleaner itu sedar sesuatu. Dia terambil satu plastik hitam berisi barang. 

Cleaner itu bertanya pada penulis tentang itu. Penulis sarankan supaya dia letak semula ditempat asal. selepas itu ada cleaner lagi sorang tanya, 'sudah cari pemiliknya?' Lalu terus cleaner muda itu berjalan keruang legar hospital. Bertanya seorang demi seorang yang dia jumpa. 

Penulis terkedu. Cleaner muda itu langsung tidak dipaksa buat begitu. Wajahnya sikit pun tidak rasa terbeban. Semuanya nampak tenang. Nampak ikhlas. Penulis mengekori cleaner itu. Dari ruang legar, menuju ruang ubat. Dan akhirnya menuju ke kafe. Ajaibnya cleaner itu jumpa pemilik barang itu.

Penulis datang dekat dengan cleaner. Memuji. Dia tidak pernah melihat ada orang yang bersungguh-sungguh membantu orang lain. Di bertanya, mengapa buat begitu.

Jawapan makcik itu memang benar-benar mengesani jiwa aku. Seriously.

'Makcik ini sudah tua. Pelajaran tidak tinggi. Gaji pula gaji orang miskin. Jadi, apa lagi saya boleh tawarkan pada manusia lain, selain bantuan yang tidak seberapa ini? Ingatlah, rahmat Allah itu sentiasa turun kepada manusia yang berbuat baik. Dan rahmat juga Allah turun kepada orang yang menolong orang lain. Itulah yang saya harapkan. Semoga pekerjaaan saya ini diberi rahmat dan tetap berada dalam redha Allah. Apa yang lebih besar di dunia ini selain rahmat dan redha Allah ke atas kita?'

Kata-kata cleaner itu telah membuka mata penulis itu. Aku sebagai pembaca juga turut terkesan dengan Kata-katanya. Bahkan mungkin, sesiapa saja boleh terkesan dengan bicaranya yang mantap dan penuh isi itu. Dan kerana ingin mencontohi isi cerita itu lah, aku disini.

"Makcik duduk dekat kampung Gelugur je ni dik." Ucap makcik itu lagi. Mematikan lamunanku tentang buku itu.

"Oh. Itu pun kampung saya makcik. Setiap kali raya, atau ada kenduri, saya akan ke sana." Jawabku lagi.

"Oh. Dekat mana?" Tanya makcik itu pula.

"Kampus sungai pinang." Balasku.

"Eh. Makcik pun tinggal kat situ." Balasnya.

"Ya, dekat mana?" Soalku pula. Rasa kecilnya dunia.

"Dekat kawasan yang ada sarang burung tu." Tuturnya bersemangat.

"Oh. Kalau macam tu, saya nak nombor telefon makcik lah, boleh? I'Allah kalau raya nanti boleh lah saya singgah." Ujarku pula.

"Eh. Boleh-boleh. Tapi fon makcik dalam kereta. Makcik tak ingat nombor makcik. Hehe. Awak bagi nombor awak lah. Nanti saya mesej" Jawabnya pula.

Nombor telefonku ditulis pada kertas. Kertas bertukar tangan. Kami sampai di kaunter pembayaran pada Ketika itu.

"Awak beli satu barang ni aje?" Tanya makcik itu.

"Aah makcik." Balasku.

"Letak lah sekali dengan barang makcik. Biar makcik bayarkan." Ujarnya makcik itu. 

Aku terkesima.

"Eh. Takpelah makcik." Ujarku.

"It's okey. Letak je." Ujarnya pula.

Bila aku berfikir-fikir. Aku berniat untuk beri kebaikan padanya. Supaya dia dapat beli dengan harga murah. Tapi sekarang dia pula yang belanja aku. Ya Allah. Aku dapat rasa rahmat Allah mengalir di celah-celah sisi kebaikan manusia lain. SubhanaAllah. Benar apa yang dikongsikan oleh makcik cleaner itu. 

*** ** ***

Pada suatu hari Rasululah SAW ditanya oleh sahabat: 

“Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling dicintai Allah dan apakah perbuatan yang paling dicintai oleh Allah? 

Rasulullah SAW menjawab : 

“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah manusia yang paling banyak bermanfaat dan berguna bagi manusia yang lain; sedangkan perbuatan yang paling dicintai Allah adalah memberikan kegembiraan kepada orang lain atau menghapuskan kesusahan orang lain, atau melunasi hutang orang yang tidak mampu untuk membayarnya, atau memberi makan kepada mereka yang sedang kelaparan dan jika seseorang itu berjalan untuk menolong orang yang sedang kesusahan itu lebih aku sukai daripada beri’tikaf di masjidku ini selama satu bulan ” 

( Hadits riwayat Thabrani ). 

@wardatul_khaulah

No comments:

Post a Comment

(sumber: Buku Memperbaharui Komitmen Dakwah by Muhammad Abduh)

"Meskipun kitalah yang benar, namun janganlah membesar-mebesarkan kelemahan dan kesalahan orang lain."